Membangun Bersama Islam

Selasa, 12 Mei 2009

AYAT TASYBIH



Mengenai ayat mutasyabih yang sebenarnya para Imam dan Muhadditsin selalu berusaha menghindari untuk membahasnya, namun justeru sangat digandrungi oleh sebahagian kelompok muslimin sesat masa kini, mereka selalu mencuba menusuk kepada jantung tauhid yang sedikit saja salah memahami maka akan terjatuh dalam jurang kemusyrikan, seperti membahas bahawa Allah ada di langit, mempunyai tangan, wajah dll yang hanya membuat kekusutan dalam kesucian Tauhid Ilahi pada benak muslimin, akan tetapi kerana semaraknya masalah ini diangkat ke permukaan, maka perlu kita perjelas mengenai ayat-ayat dan hadis tersebut.

Sebagaimana makna Istiwa, yang sebahagian kaum muslimin sesat sangat gemar membahasnya dan mengatakan bahawa Allah itu bersemayam di Arsy, dengan menafsirkan kalimat ”ISTIWA” dengan makna ”BERSEMAYAM atau ADA DI SUATU TEMPAT”, entah dari mana pula mereka menemukan makna kalimat Istawa adalah semayam, padahal tak mungkin kita katakan bahawa Allah itu bersemayam di suatu tempat, kerana bertentangan dengan ayat-ayat dan Nash hadis lain, bila kita mengatakan Allah ada di Arsy, maka di mana Allah sebelum Arsy itu ada?, dan bererti Allah memperuntukkan ruang, bererti berwujud seperti makhluk, sedangkan dalam hadis qudsi disebutkan Allah swt turun ke langit yang terendah saat sepertiga malam terakhir, sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih Muslim hadis no.758, sedangkan kita memahami bahawa waktu di permukaan bumi terus bergilir,

Maka bila di suatu tempat adalah tengah malam, maka waktu tengah malam itu tidak bercahaya, tapi terus berpindah ke arah barat dan terus ke yang lebih barat, tentulah bererti Allah itu selalu bergelantungan mengitari Bumi di langit yang terendah, maka semakin kusutlah pemahaman ini, dan menunjukkan rapuhnya pemahaman mereka, jelaslah bahawa hujjah yang mengatakan Allah ada di Arsy telah bertentangan dengan hadis qudsi di atas, yang bererti Allah itu tetap di langit yang terendah dan tak pernah kembali ke Arsy, sedangkan ayat itu mengatakan bahawa Allah ada di Arsy, dan hadis Qudsi mengatakan Allah di langit yang terendah.

Berkata Al hafidh Almuhaddits Al Imam Malik rahimahullah ketika datang seseorang yang bertanya makna ayat : ”Arrahmaanu ’alal Arsyistawa”, Imam Malik menjawab : ”Majhul, Ma’qul, Imaan bihi wajib, wa su’al ’anhu bid’ah (tdk diketahui maknanya, dan tidak boleh mengatakannya mustahil, percaya akannya wajib, bertanya tentang ini adalah Bid’ah Munkarah), dan kulihat engkau ini orang jahat, keluarkan dia..!”, demikian ucapan Imam Malik pada penanya ini, hingga ia mengatakannya : ”kulihat engkau ini orang jahat”, lalu mengusirnya, tentunya seorang Imam mulia yang menjadi Muhaddits Tertinggi di Madinah Almunawwarah di masanya yang beliau itu Guru Imam Syafii ini tak sebarangan mengatakan ucapan seperti itu, kecuali menjadi dalil bagi kita bahawa hanya orang-orang yang tidak baik yang mempermasalahkan masalah ini.

Lalu bagaimana dengan firmanNya:”Mereka yang berbai’at padamu sungguh mereka telah berbai’at pada Allah, Tangan Allah di atas tangan mereka” (QS Al Fath 10), dan di saat Bai’at itu tak pernah teriwayatkan bahawa ada tangan turun dari langit yang turut berbai’at pada sahabat.
Juga sebagaimana hadis qudsi yang mana Allah berfirman : ”Barangsiapa memusuhi waliKu sungguh Ku umumkan perang kepadanya, tiadalah hamba Ku mendekat kepada Ku dengan hal-hal yang fardhu, dan Hamba Ku terus mendekat kepada Ku dengan hal-hal yang sunnah baginya hingga Aku mencintainya, bila Aku mencintainya maka Aku menjadi telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, dan menjadi matanya yang ia gunakan untuk melihat, dan menjadi tangannya yang ia gunakan untuk memerangi, dan kakinya yang ia gunakan untuk melangkah, bila ia meminta pada Ku niscaya Ku beri permintaannya....” (Sahih Bukhari hadis no.6137). Maka hadis Qudsi di atas tentunya jelas menunjukkan bahawa pendengaran, penglihatan, dan pancaindera lainnya, bagi mereka yang taat pada Allah akan dilimpahi cahaya kemegahan Allah, pertolongan Allah, kekuatan Allah, keberkahan Allah, dan sungguh maknanya bukanlah bererti Allah menjadi telinga, mata, tangan dan kakinya.

Masalah ayat/hadis tasybih (tangan/wajah) dalam ilmu tauhid terdapat dua pendapat/madzhab dalam menafsirkannya, iaitu:

1. Madzhab tafwidh ma’a tanzih
Madzhab ini mengambil dhahir lafadz dan menyerahkan maknanya kepada Allah swt, dengan i’tiqad tanzih (mensucikan Allah dari segala penyerupaan). Ditanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal masalah hadis sifat, ia berkata,”Nu; minu biha wa nushoddiq biha bilaa kaif wala makna”, (Kita percaya dengan hal itu, dan membenarkannya tanpa menanyakannya bagaimana, dan tanpa makna). Madzhab inilah yang juga di pegang oleh Imam Abu Hanifah. Dan kini muncullah faham mujjassimah iaitu dhohirnya memegang madzhab tafwidh tapi menyerupakan Allah dengan makhluk, bukan seperti para imam yang memegang madzhab tafwidh.

2. Madzhab takwil
Madzab ini menakwilkan ayat/hadis tasybih sesuai dengan keEsaan dan keAgungan Allah swt, dan madzhab ini arjah (lebih baik untuk diikuti) kerana terdapat penjelasan dan menghilangkan awhaam (khayalan dan syak wasangka) pada muslimin umumnya, sebagaimana Imam Syafii, Imam Bukhari, Imam Nawawi dll. (Syarah Jauharat Attauhid oleh Imam Baajuri). Pendapat ini juga terdapat dalam Al Qur’an dan Sunnah, juga banyak dipakai oleh para sahabat, tabiin dan imam-imam ahlussunnah waljamaah.

Seperti ayat:
”Nasuullaha fanasiahum” (mereka melupakan Allah maka Allah pun lupa dengan mereka) (QS Attaubah: 67), dan ayat:”Innaa nasiinaakum”. (Sungguh Kami telah lupa pada kalian QS As-Sajdah 14).

Dengan ayat ini kita tidak boleh menyifatkan sifat lupa kepada Allah walaupun tercantum dalam Al Qur’an, dan kita tidak boleh mengatakan Allah punya sifat lupa, tapi berbeza dengan sifat lupa pada diri makhluk, kerana Allah berfirman : ”dan tiadalah Tuhanmu itu lupa” (QS Maryam 64).

Dan juga diriwayatkan dalam hadis Qudsi bahawa Allah swt berfirman:”Wahai Keturunan Adam, Aku sakit dan kau tak menjenguk Ku, maka berkatalah keturunan Adam: Wahai Allah, bagaimana Aku menjenguk Mu sedangkan Engkau Rabbul ’Alamin?, maka Allah menjawab: Bukankah kau tahu hamba Ku fulan bin fulan sakit dan kau tak mau menjenguknya?, tahukah engkau bila kau menjenguknya maka akan kau temui Aku di sisinya?” (Sahih Muslim hadis no.2569) Apakah kita boleh mensifatkan sakit kepada Allah tapi tidak seperti sakitnya kita? Berkata Imam Nawawi berkenaan hadis Qudsi di atas dalam kitabnya iaitu Syarah Annawawiy alaa Sahih Muslim bahawa yang dimaksudkan sakit pada Allah adalah hambaNya, dan kemuliaan serta kedekatan Nya pada hamba Nya itu,”wa ma’na wajadtaniy indahu ya’niy wajadta tsawaabii wa karoomatii indahu” dan makna ucapan: akan kau temui Aku di sisinya adalah akan kau temui pahalaKu dan kedermawanan Ku dengan menjenguknya (Syarah Nawawi ala Sahih Muslim Juz 16 hal 125).

Dan banyak pula para sahabat, tabiin, dan para Imam ahlussunnah waljamaah yang berpegang pada pendapat Takwil, seperti Imam Ibn Abbas, Imam Malik, Imam Bukhari, Imam Tirmidziy, Imam Abul Hasan Al Asy’ariy, Imam Ibnul Jauziy dll (lihat Daf’ussyubhat Attasybiih oleh Imam Ibn Jauziy).

Maka jelaslah bahawa akal tak akan mampu memecahkan rahsia keberadaan Allah swt, sebagaimana firman Nya:”Maha Suci Tuhan Mu Tuhan Yang Maha Memiliki Kemegahan dari apa-apa yang mereka sifatkan, maka salam sejahtera lah bagi para Rasul, dan segala puji atas Tuhan sekalian alam”. (QS Asshaffat 180-182).

Walillahittaufiq

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Cabelas Sporting Goods
Free Counter